Pasar Nelayan Kubang Rotan
Pasar Nelayan Kubang Rotan merupakan kendalian di bawah Persatuan Penduduk Tandop Kubang Rotan. Nadi utama ekonomi bagi penduduk di kawasan sekitar, khususnya di Kampung Hilir Kubang Rotan, Kampung Kelunchur, Kampung Baru dan kawasan sekitarnya. Kewujudan pasar ini bukan sahaja menjadi sumber rezeki kepada para nelayan dan peniaga kecil, malah turut memberi manfaat besar kepada seluruh komuniti setempat.

Sebahagian besar penduduk di sini bergantung kepada aktiviti perikanan dan perniagaan kecil sebagai mata pencarian. Setiap hari, seawal subuh, bot-bot nelayan mula keluar ke laut, menandakan permulaan rutin harian yang penuh usaha dan ketekunan. Hasil tangkapan seperti ikan, udang, ketam dan sotong kemudiannya dijual segar di pasar dengan harga yang berpatutan, sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan bekalan makanan laut berkualiti.
Selain hasil laut, pasar ini turut menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, rempah ratus serta sumber protein lain seperti ayam dan daging. Menjelang petang pula, suasana pasar berubah dengan kehadiran peniaga kuih-muih dan pelbagai juadah tempatan yang menambah lagi kemeriahan dan kepelbagaian pilihan.

Kemudahan Pasar Nelayan ini jelas memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi komuniti setempat. Walaupun berdepan cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, penduduk di kawasan ini terus berusaha dengan gigih serta menguruskan cabaran dengan penuh kesederhanaan dan kebijaksanaan.
Sehubungan itu, Persatuan Penduduk Tandop Kubang Rotan komited untuk terus memperkukuh perpaduan, menjaga kebajikan serta memastikan kemudahan yang sedia ada dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh seluruh penduduk. Diharapkan agar kemudahan seperti Pasar Nelayan ini terus dihargai dan digunakan secara berhemah demi kesejahteraan bersama.
